Asimilasi
merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan
budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang
sama. Menurut Vander
Zanden (seorang ahli sosiologi), asimilasi ialah satu proses dalam mana
kelompok-kelompok yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan,
menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama.
Asimilasi menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari
segi kebudayaan dan identiti. Konsep ini diwakili dengan formula A+B+C =A (A
dalam hal ini mewakili golongan dominan sementara B dan C mewakili kumpulan etnik
minoriti). Contohnya, orang melayu di Thailand telah mengalami proses asimilasi
yang menyebabkan nama, bahasa dan hampir semua aspek cara hidup mereka (kecuali
agama) telah disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Di Malaysia,
apa yang berlaku keatas masyarakat Jawa, Cina Kelantan, Baba dan Nyonya
merupakan contoh berlakunya proses asimilasi. Namun, bagi etnik cina di
Kelantan serta Baba dan Nyoya, asimilasi berlaku dalam konteks budaya tanpa
melibatkan anutan kepercayaan atau agama.
Proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat
antara ahli kumpulan etnik etnik berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama.
kejayaan asimilasi umumnya bergantung kepada kesanggupan etnik minoriti
menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti;
terdapt banyak persamaan budaya antara kumpulan etnik; dan kesanggupan kumpulan
etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti.
Terdapat beberapa faktor yang
mendorong berlakunya asimilasi. Salah satu faktornya
adalah adanya sikap yang saling menghormati dan menghargai orang
asing dan kebudayaan yang dibawanya. Di negara kita Malaysia, seperti apa yang
berlaku ke atas masyarakat Cina Kelantan, Jawa, Baba dan Nyonya merupakan salah
satu contoh berlakunya proses asimilasi. Walaubagaimanapun ianya hanya berlaku
dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama. Dalam
sesetengah kes masyarakat Cina di Malaysia telah mengamalkan kepelbagaian
kebudayaan yang umum di mana pemikiran dan sentimen mereka walaupun bersifat
kecinaan dari segi etnik namun mereka dikatakan berkongsi sentimen bersama dan
beberapa cara hidup orang Melayu, India dan penduduk-penduduk Malaysia yang
lain dan begitu juga sebaliknya samada dari segi pemakanan, pakaian dan
sebagainya.
Selain itu, antara faktor yang mendorong berlakunya proses
asimilasi adalah memiliki sikap yang terbuka terhadap golongan yang sedang
berkuasa dalam masyarakat dan kesanggupan
etnik majoriti menerima etnik lain. Contohnya
apabila dilihat melalui konteks golongan Baba Nyonya di Melaka dan juga Pulau
Pinang, golongan India peranakan atau Mami di Pulau Pinang dan Arab Peranakan
sanggup mengorbankan bahasa nenek moyang mereka demi mengikut budaya dsn etnik
di Malaysia. Di sini amat jelas bahawa budaya golongan minoriti dalam konteks
asimilasi sosial teradun dalam acuan budaya Melayu meskipun secara halus
terdapat perbezaannya.
Walaubagaimanapun, terdapat juga faktor yang menjadi
penghalang proses asimilasi. Antara
faktornya ialah kurangnya pengetahuan kebudayaan sehingga menimbulkan
perasaan takut terhadap budaya lain. Perasaan takut ini memang tidak dapat
dinafikan dirasai oleh setiap rakyat atau kaum di Malaysia. Malahan timbul
juga perasaan bahawa budaya etnik merka lebih tinggi daripada budaya etnik
lain dan sebagainya dan ini menimbulkan perbezaan kepentingan antara
etnik-etnik yang terlibat. Ini merupakan halangan tersirat yang menghalang
proses asimilasi daripada berlaku.
Oleh itu, proses asimilasi seharusnya dibiarkan berlaku secara
evolusi serta semulajadi. Usaha untuk mewujudkan asimilasi secara paksaan pasti
akan menemui banyak halangan dan kegagalan. Yang pasti konsep asimilasi yang
diamalkan oleh Malaysia adalah berbeza dengan konsep yang diamalkan oleh
negara-negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik tidak dilenyapkan malahan
digabung dan disatukan menjadi identiti dan budaya Malaysia
No comments:
Post a Comment